4. KHIDMAT NEGARA PEMANGKIN PROSES PEMBENTUKAN GENERASI MAJU

4.1 Akibat daripada halangan dan cabaran-cabaran dalam dan luar negara ini, terdapat perdebatan yang hangat, sama ada secara formal dan tidak formal di peringkat antarabangsa mahupun di peringkat negara. Salah satu peristiwa bersejarah yang berkaitan dengan National Service ialah Kongres Patriotisme Negara anjuran bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Biro Tatanegara (BTN), Jabatan Perdana Menteri yang diadakan pada 26 Oktober 2002 di Esset, Bangi, Selangor. Kongres ini dihadiri lebih daripada 600 orang peserta yang terdiri dari pelbagai golongan masyarakat, termasuklah ahli-ahli politik Kerajaan dan Pembangkang, orang awam, badan-badan bukan kerajaan (NGO), pegawai kanan Kerajaan, tokoh-tokoh korporat, penggubal-penggubal dasar, ahli akademik, mahasiswa dan pelajar-pelajar sekolah.

4.2 Rata-rata peserta Kongres melahirkan perasaan bimbang mereka tentang sikap dan tingkahlaku sebilangan anak muda yang kurang semangat cintakan negara dan patriotisme; kurang erat dari segi perpaduan dan integrasi kaum; dan kurang berminat memberi sumbangan secara sukarela di dalam pertubuhan yang menjurus kepada semangat patriotik seperti Jabatan Pertahanan Awam, RELA, Rakan Muda, Wataniah, Persatuan Badan Beruniform, Rukun Tetangga dan lain-lain.

4.3 Kongres berkenaan juga bersetuju supaya supaya satu program Khidmat Negara dilaksanakan kepada golongan remaja. Susulan dari pada itu, sebuah
5Jawatankuasa Kabinet Mengenai Khidmat Negara telah dibentuk dengan dipengerusikan oleh YAB Menteri Pertahanan Malaysia untuk mengkaji cadangan Kongres. Selain daripada meneliti isu, masalah dan cadangan Kongres tersebut, Jawatankuasa ini juga telah mendapat maklumbalas daripada pelbagai pihak seperti pelajar, ibu bapa, badan-badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, pertubuhan, parti-parti politik dan lain-lain. Di samping itu, kajian tinjauan dan analisis model-model Kerahan Tenaga dari negara-negara lain juga diteliti dan dinilai seperti di Singapura, Korea Selatan , Thailand, Portugal, Israel, Great Britain dan France.
Maklumbalas Ibu Bapa

4.4 Satu kajian ke atas 450 orang para ibu bapa telah diadakan semasa Ekspo Kerjaya ATM di Johor Baru dari 24 hingga 26 Januari 2003. Sebanyak 98.4 peratus ibu bapa bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Program Khidmat Negara dengan objektif utamanya ialah memupuk semangat patriotisme, disiplin dan perpaduan kaum. Aktiviti yang dicadangkan termasuklah latihan ketenteraan, latihan kemahiran, latihan fizikal bercorak ketenteraan, khidmat sosial, kenegaraan, bimbingan agama dan lain-lain. Majoriti (80.4%) mencadangkan supaya program ini melibatkan belia lelaki dan perempuan, dijalankan secara berasrama (93%) dan mahukan anak mereka terus mengikuti program ini selepas Sijil Pelajaran Malaysia (79.3%).
Maklumbalas Pelajar Sekolah

4.5 Hasil kajian oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta ke atas 6,000 orang pelajar lelaki dan perempuan mendapati lebih daripada 80 peratus daripada mereka menyokong pelaksanaan program ini. Sampel kajian terdiri daripada pelajar sekolah yang berumur di antara 15 dan 16 tahun dari 350 buah sekolah di seluruh negara.


Maklumbalas Persatuan, Pertubuhan, Parti Politik dan lain-lain
4.6 Hasil perbincangan dengan wakil-wakil Majlis Belia Malaysia, Ketua-ketua Pengarah Media, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, MCA dan Persatuan Belia Cina, Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Pemuda dan Putri MIC Kebangsaan dan Pertubuhan Belia-belia India dan Naib-naib Canselor Institusi Pengajian Tinggi Awam secara umumnya bersetuju dengan pelaksanaan program Khidmat Negara bagi golongan muda untuk mengatasi masalah perpaduan kaum, tahap semangat patriotisme yang rendah dan juga masalah keperibadian murni. Tiga komponen asas yang dicadangkan di dalam program termasuklah latihan ketenteraan, latihan kenegaraan dan pembentukan watak serta khidmat masyarakat.

0 comments

Post a Comment